Saturday, August 31, 2013

Puisi Fahd Razy, Mingguan Malaysia 1 September 2013




Nota Renyuk Kepada El Sisi

Khabar apa tuan Jeneral, enak
menghirup cigar merah
asapnya ghairah, dicucuh
api Rabiah yang berunggun syuhadah.

Mesir bernafsu baru, kata tuan. Segak
uniform kuasawan, elit militari
berwatak militan. Poket kanannya
merah-biru dolar seberang. Poket kiri
seribu duaribu kepala demonstran
juga sekantung gigi agamawan. Uh!
Khabar apa tuan Jeneral, lunaknya
mimpi-mimpi demokrasi
longlai revolusi
meleleh liur di sofa kudeta
berahinya kecur di propaganda junta.

Ya. Kebatilan kepada haq
adalah gagak kepada helang.
Bukankah tuan, Jalut juga semut
di mata Daud? Namrud juga
dinyanyukkan seekor nyamuk. Pula sini
syurga pejuang, pertiwi helang-helang.
Leher Ikhwan dikelar,
Mursi dan Badie’ tersangkar- ini kan garuda
tetap bayangnya mencakar
berdegup berlegar
ke dada jelatawan yang gelepar.

Khabar apa tuan Jeneral, kenalkan ini
namanya mujahid, mimpinya
dahi bermohor syahid. Lepaskan saja
tali singaserigala tuan, keliaran ke jalanan
mengonggong tengkuk
murbawan muda yang nyanyikan
keadilan- Uh!

Ini lebuhraya ke temasya abadi.
Kematian, kan cuma sekeping pintu
dan kuncinya, tuan
adalah lesat sebutir peluru.

Fahd Razy
Kuala Terengganu
21 Ogos 2013
(Mingguan Malaysia, 1 September 2013)

Puisi khas untuk Jeneral Abd Fattah As Sisi yang mengepalai rampasan kuasa di Mesir ke atas presiden Morsi.

Sunday, August 25, 2013

Naskhah-naskhah karya ahli GKLN 2013- Bakal Terbit!


Nantikan kemunculan naskhah-naskhah karya ahli Grup Karyawan Luar Negara untuk tahun 2013!

Friday, August 2, 2013

KEPUTUSAN SAYEMBARA PUISI EROPAH-US 2013

KEPUTUSAN SAYEMBARA PUISI EROPAH-US 2013

Berikut diumumkan senarai pemenang bagi Sayembara Puisi bagi zon EROPAH-US 2013. Semua karya akan dimuatkan dalam antologi GKLN 2013

PERTAMA
Tajuk: Hari Itu Akan Tiba
Nurul Ashikin Bt Hassan Basri Ashikin Hassan Basri
Tahun Kedua Jurusan Sains Aktuari
University of Waterloo, Canada.

KEDUA
Tajuk: Palestin Kampung Halaman
Syazwan Miswan
Temple University
United States

KETIGA
Tajuk: Melayu
Tengku Muhammad Fauzan Bin Tengku Noor Afandi
Fauzan Afandi
Stevens Institute of Technology

Pemenang saguhati
Tajuk: Gema Takbir di Langit Gaza
Mohamad Suhaimi bin Ramli Suhaimi Ramli
Molecular Bio-Science and Biotechnology,
Rochester Institute of Technology,
New York, USA.

PANEL HAKIM:
Khairil Idham Ismail
Rifhan Rasuli
Amirul Hamudin

LAPORAN HAKIM:
Puisi adalah gabungan mesej, gaya bahasa dan teknik. Dalam gaya bahasa dan teknik itu pula terdapat unsur-unsur sastera yang digunakan untuk menambahkan lagi keindahan puisi tersebut.

Sesetengah penyair begitu asyik dengan mesej yang hendak disampaikan, yang patut dipuji, tetapi dalam masa yang sama kurang berjaya mengimbanginya bersama teknik dan gaya bahasa. Teknik dan gaya bahasa ini diperoleh daripada pengalaman – melalui pembacaan dan juga belajar daripada sajak-sajak yang pernah ditulis sebelum ini.

Dalam sajak ‘Melayu’ dapat dilihat pendekatan bagi menyamakan rima di hujung setiap baris, yang tentunya tidak mudah untuk dilaksanakan. Tahniah diucapkan. Ia boleh menjadi kekuatan tetapi dalam masa yang sama juga kekurangan, kerana sajak bukanlah syair yang memaksa penulisnya menyamakan rima dalam setiap keadaan. Dalam masa-masa tertentu, jika penyajak merasakan akan menemui kejanggalan, tidak salah agar penyamaan rima tersebut diabaikan. Baca bagaimana puisi-puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang selalu diselaraskan rimanya, tetapi tidak mengekang satu atau dua baris untuk keluar daripada rima berkenaan jika diperlukan, jika perkara itu membawa kepada kekekokan.

Sajak ‘Hari Itu Akan Tiba’, membawa mesej keadaan rakyat Palestin dan membandingkan kehidupan mereka dengan rakyat di negara lain. Perhatikan:

"Tika anak kecil lain menangis kehilangan mainan,
Anak kecilmu menangis kehilangan tangan.
Tika ibu lain menangis bangga anak menggenggam ijazah,
Ibumu menangis bangga anak gugur sebagai mujahid dan mujahidah."

Rangkap di atas menunjukkan kekuatan tema yang ingin disampaikan, menggunakan rima yang sama bagi setiap perbandingan agar ia dapat ditonjolkan.

Penggunaan ayat ‘engkau tidak pernah merungut’ yang beberapa kali diselitkan di antara baris barangkali juga boleh menjadi kekuatan jika digunakan dengan penuh waspada, sebagaimana ayat ‘Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?’ menjadi penyeri yang menyedapkan dalam surah Ar-Rahman.

Puisi ‘Palestin Kampung Halaman’ pada awalnya menunjukkan kematangan penulis dalam menghurai emosi penyair tentang situasi di negara bergolak itu. Pembukaan ‘Memang benar dunia semakin sakit’ amat menangkap perhatian untuk terus membaca. Namun kualiti di hujung-hujung sajak ini barangkali kelihatan kurang setara dengan pembukaannya. Baris ‘takbir kepada mereka yang berupaya’ kedengaran kurang sekata dengan tiga baris sebelumnya. Sementara rangkap terakhir pula lebih berbentuk doa, yang tidaklah salah, tetapi masih boleh dikarang dengan lebih elegan agar mampu turut dihayati oleh pembaca.

Sesekali terdetik di hati – alangkah bagusnya jika kualiti yang ada pada pembukaan puisi ini dapat dikekalkan sehingga ke hujungnya.

Sajak ‘Gema Takbir di Langit Gaza’. Pertama, pembukaan ‘Alif, ba, ta’ adalah klise yang dibimbangi mengakibatkan pembaca bertukar ke sajak lain selepas membaca dua tiga baris sahaja. Penyair kelihatan begitu menitikberatkan keselarasan rima dalam baris-baris puisinya, yang harus dipuji, tetapi seperti yang telah dihuraikan sebelum ini, kadangkala ia boleh diabaikan sekiranya kedengaran janggal.

Selain persoalan tema, bahasa, teknik dan unsur sastera, terdapat beberapa perkara lagi yang boleh diperbaiki dalam sajak-sajak yang menyertai sayembara tahun ini.
Pertama: tanda baca. Dalam puisi kontemporari Malaysia, penggunakaan tanda koma (,) di hujung baris jarang berlaku, apatah lagi di hujung hampir setiap baris dalam satu sajak. Disarankan tinggalkan sahaja titik koma tersebut, kerana baris-baris yang terpisah di dalam sajak sudah pun membawa erti ‘berhenti sebentar’ ketika ia dibaca. Penggunaan tanda koma adalah lebih baik disimpan untuk keadaan-keadaan tertentu sahaja. Juga, amat jarang dijumpa penggunaan tanda baca (...) dalam puisi-puisi di Malaysia atau negara-negara lain (setakat yang pernah saya baca).

Kedua: ejaan. Beberapa ejaan kelihatan bukan dalam bahasa Melayu Kamus Dewan, seperti ‘musik’ dan ‘kerna’ yang sebenarnya dalam bahasa Indonesia.

Kesimpulannya, penyertaan ke dalam sayembara puisi seperti ini memberikan ruang yang baik untuk melatih penyair menajamkan puisi-puisi mereka.

Keputusan Sayembara Puisi Timur Tengah 2013

 TAHNIAH..!

Bismillahirrahmanirrahim.

Setelah hakim-hakim berhempas-pulas menghakimi karya-karya peserta, maka kini nama pemenang-pemenang sudah berada di tangan saya. Para pemenang akan mendapat hadiah seperti yang dijanjikan, juga karya para pemenang akan dimuatkan dalam antologi GKLN akan datang.

Pemenang-pemenang sayembara adalah seperti berikut :

Pertama : Bangsa Kita Bukan Pelupa (Muhammad Amir Lutfi Bin Makhtar)
Kedua : Sisi Cinta Sebuah Kota (Sharifah Zahidah Binti Syed Nooh)
Ketiga : Mujahid Tidak Bermujahadah (Mohd Faiz Nazim Bin Baidilleh)


3x Saguhati :

Kekasih Malam (Mohamad Zakir Bin Che Nan)
Catatan Lavender La Nuna (Nour Amal Ina)
Hamparan Kaca (Putera Muhammad Mu'izz)


Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Kepada karya-karya terpilih yang juga akan dimuatkan ke dalam antologi GKLN, akan dimaklumkan selepas ini. Inshaallah.

Selamat berpuasa. Ramadhan Kareem.